Isnin, 7 Disember 2015

CARA KIRAAN ZAKAT EMAS DI MALAYSIA


Emas dan perak merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Dalam hal ini, zakat emas dan perak terbahagi kepada dua perbahasan iaitu:
1. Perbahasan pertama ialah atas zat atau ‘ain emas dan perak itu sendiri sama ada dipakai atau disimpan; dan
2. Perbahasan kedua ialah zakat mata wang kerana sandaran mata wang pada zaman ini asasnya kepada emas.


ZAKAT EMAS DAN PERAK

Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila telah sampai nisab dan telah cukup haul setahun.


DALIL WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK

Firman Allah yang bermaksud:
Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 
(surah at-Taubah: 34)


Sabda Rasulullah yang bermaksud:
Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari Kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya. 
(Riwayat Muslim)


JENIS EMAS YANG DIWAJIBKAN ZAKAT


EMAS YANG DISIMPAN (gold bar, dinar, dll)
Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. Sebagai contoh, jika berat keseluruhan emas yang tidak dipakai itu seberat 90 gram bernilai RM9500 maka zakatnya adalah: RM9500 x 2.5% = RM237.50


EMAS YANG DIPAKAI (perhiasan)
Emas sama ada dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai ‘uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.


Nilai uruf emas bagi negeri-negeri di Malaysia:
Kedah - 150 gram
Perlis - 170 gram
Pulau Pinang - 165 gram
Melaka - RM5000
Johor - 850 gram
Negeri Sembilan - 200 gram
Selangor - 800 gram
Wilayah Persekutuan - 150 gram
Kelantan - tiada
Terengganu - 850 gram
Pahang - 200 gram
Perak - 500 gram
Sabah - RM5000
Sarawak - 775 gram


NISAB DAN KADAR ZAKAT EMAS

Sabda Rasulullah yang bermaksud :
Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85 gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%). Maka sekiranya lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya.
(Riwayat Abu Daud)


Nisab bagi emas ialah 85 gram atau 20 misqal/dinar atau 25 mayam.


Apabila seseorang memiliki emas menyamai nisab semasa atau lebih dan telah cukup haul (setahun) ia wajib mengeluarkan zakat. Ulama sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, maka wajib dikenakan zakat. Kadar zakat ialah rubu’ al ‘usyur iaitu satu perempat puluh (1/40) atau dua setengah peratus (2.5%).


Emas yang disimpan seberat 85 gram dan telah mencukupi satu tahun, wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 % daripada nilai semasa emas tersebut (termasuk juga emas yang rosak/patah)


Emas yang dipakai tidak diwajibkan zakat kecuali melebihi uruf. Emas yang dipakai yang melebihi uruf dikenakan zakat sebanyak 2.5 % (berat yang melebihi uruf sahaja).


CONTOH PENGIRAAN:
(Andaikan nisab semasa 85 gram emas adalah RM 8,909.48)
Emas tersimpan seberat 90 gram.


1 gram emas = (RM 8,909.48/85 gram) = RM 104.82
90 gram emas = 90 gram x RM 104.82 = RM 9,433.80
Zakatnya = RM 9,433.80 X 2.5% = RM 235.85
Emas yang dipakai seberat 300 gram.
200 gram = uruf pemakaian emas
300-200 gram = lebihan daripada uruf = 100 gram
100 gram emas = 100 gram x RM 104.82 = RM 10,482.00
Zakatnya = RM 10,482.00 X 2.5% = RM 262.05
-------
Mulakan simpanan emas anda serendah 0.5 gram hari ini dengan #PowerGold melalui kempen #1Bulan1Gram. Dapatkan emas anda dengan menghubungi hubungi talian berikut: 01115403082.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
© Copyright 2035 Empayar Ledang
Theme by Yusuf Fikri